Jumaat, 1 Oktober 2010

MENJEJAKI MAT KILAU TRAIL


Ekspedisi menjejaki Laluan Mat Kilau di sempadan Pahang dan Terengganu.
Nama Mat Kilau kian dilupai oleh generasi muda hari ini. Kalau ada pun mungkin sebagai bahan bacaan dalam buku sejarah untuk peperiksaan. Tahukah anda bahawa beliau ialah salah seorang pahlawan Melayu yang bangun menentang penjajah Inggeris di lapangan. Beliau bermula dengan menanam semangat memerdekaan tanah air di kalangan penduduk setempat.

SEJARAH PERJUANGAN MAT KILAU
Mat Kilau dilahirkan pada tahun 1865 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang Darul Makmur. Bapanya bernama Imam Rasul atau gelarannya Tok Gajah, seorang pembesar Pahang. Ibunya bernama Mahda binti Tok Kaut Burau.
Dari kecil beliau telah pandai membaca al-Quran, berzanji, berdikir maulud dan berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi beliau ialah bermain gasing dan berlaga buah keras, sejenis permainan tradisional yang telah pupus. Beliau sentiasa menjadi juara di kampungnya.

Ketika berusia 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan Yang Chik binti Imam Daud dari Kampung Kedondong dan dianugerahkan tiga orang cahaya mata. Mat Kilau belajar silat, menuntut ilmu kebatinan dan seni mempertahankan diri serta bermain senjata seperti keris, tombak dan parang daripada ayahnya, Tok Gajah. Beliau menuntut ilmu agama daripada Allamah Haji Botok bin Osman, ulama Kelantan yang berpindah menjadi mufti Pahang pada zamannya.

Sekitar tahun 1890-an, tugas memungut cukai dan hasil tanah oleh pembesar negeri yang dilantik telah diambil alih E.A. Wise, wakil penjajah British. Rakyat Pahang marah dengan tindakan British itu lalu bangun memberontak termasuk para pembesar negeri antaranya Tok Gajah dan Dato’ Bahaman.
Mat Kilau, pahlawan muda berusia 27 tahun ketika itu muncul membantu perjuangan Dato’ Bahaman dan Tok Gajah. Pahlawan tiga serangkai ini menguatkan pasokan tentera menentang British. Mereka berperang dengan British di Lubuk Terua, Temerloh, Bentong, Jeram Ampai dan Kuala Tembeling.Gerakan ini mendapat sokongan padu daripada ulama terkenal Terengganu, Tokku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan.
Dengan kemahiran selok belok ilmu hutan dan treking Mat Kilau menyusup masuk ke Terengganu dan Kelantan melalui beberapa laluan khusus yang hingga ke hari ini masih digunakan oleh pencari hasil hutan seperti damar dan kayu gaharu dikenali sebagai Laluan Mat Kilau atau Mat Kilau Trail.
Pada 14 Jun 1894 Dato’ Bahaman dengan bantuan Mat Kilau bersama 100 orang pengikut mereka menawan semula Kuala Tembeling dan Jeram Ampai. British bertindak balas di bawah pimpinan Kolonel Walker. Sejak itu mereka terus diburu oleh British dan dilabel sebagai penderhaka. Akhirnya mereka terpaksa berundur ke Kelantan.
Pada 22 Oktober 1895 akhbar The Straits Times melaporkan, "Ketua Penderhaka, Dato' Bahaman telah ditawan pemerintah Siam.” Akhbar The Free Press pula melaporkan, ”Mat Kilau telah melawan apabila ditahan. Akibatnya dia telah cedera parah di muka dan kepalanya. Dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu."
Sebenarnya Mat Kilau tidak mati. Ini disahkan oleh kawan-kawannya iaitu Mustafa bin Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lagi.

Disebabkan Mat Kilau telah sedia dicop 'penderhaka' oleh Inggeris, maka terpaksalah beliau menyembunyikan identiti dirinya serta berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat. Akhirnya beliau bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak tahun 1930, beliau menukar namanya beberapa kali dan akhirnya menggunakan nama Mat Siam.

Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, anak Mat Kilau yang bernama Omar Mat Kilau mengiring bapanya ke masjid Kampung Masjid, kampung kelahiran Mat Kilau, untuk solat Jumaat.

Beliau yang memakai serban hitam dan gamis putih diusung dan dipayungi oleh sekumpulan pengikutnya. Selepas solat beliau membaca al-Quran dan kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau dengan kad pengenalan no. 2044778 atas nama Mohamad bin Ibrahim.

Kerajaan negeri Pahang menubuhkan sebuah jawatan kuasa pada 8 Januari 1970 dan beberapa orang ditemuramah bagi mengesahkan bahawa Mat Siam itu sebenarnya ialah Mat Kilau. Pada jam 10.30 pagi Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, Raja Tan Sri Yahya Mohd Seh.

Empat hari kemudian pada 10 Ogos 1970 Mat Kilau meninggal dunia kerana uzur ketika berusia 105 tahun.

Mat Kilau Trail
Saya mula berasa dekat dengan perjuangan Mat Kilau ketika berulang alik sepanjang Sungai Tembeling menaiki bot panjang dari Kuala Tembeling ke Kuala Tahan awal tahun 80-an. Saya mengikut ayah (arwah bapa mertua) meneroka tanah pertanian, membangunkan pusat pelancongan dan mencari kawasan kayu balak di pinggir Sungai Tembeling dan Sungai Tekai.

Ketika itu jalan raya dari Jerantut ke Taman Negara belum lagi dibina. Yang ada cuma lorong lori balak. Ayah bercerita inilah jalan yang dilalui oleh Mat Kilau serta pengikutnya ketika berundur mengatur strategi untuk melawan British. Mat Kilau mudik Sungai Tembeling hingga ke kaki banjaran Titiwangsa, mengikut jalan darat mendaki banjaran dan turun hala ke barat di Terengganu.

Sejak itu laluan itu telah menyambungkan dua negeri. Penempatan dan perkampungan mula didirikan. Mereka bersaudara melalui perkahwinan. Saya mula memasang azam, “Satu hari nanti saya mesti menjejaki laluan Mat Kilau ini!”

Cita-cita ini terpendam hinggalah pada suatu hari saya bertemu dengan seorang sahabat anggota Kelab Motor Berkuasa Besar Kawasaki ketika mengadakan Misi Kemanusiaan Dakwah ke perkampungan orang Asli Batu 55, Maran, Pahang. Namanya al-Raubi. Al-Raubi telah mengadakan riki hingga ke permulaan laluan Mat Kilau Trail. Maka kami pun bergabung dengan Kelab Tadabbur Alam, sayap lasak Persatuan Belia Sri al-Ain (BERSAMA) merancang untuk mengadakan ekspedisi yang dinamakan MENJEJAKI MAT KILAU TRAIL.
Matlamat Ekspedisi

• Mendokumentasikan dan mengambil foto perjalanan bersejarah pahlawan Melayu Mat Kilau.
• Mengenali penduduk, alam sekitar, flora dan fauna laluan.
• Aktiviti lasak yang sihat di kalangan remaja.
Pilihan Laluan Mat Kilau
Mengikut sejarahnya terdapat sekurang-kurangnya lima laluan yang pernah digunakan oleh Mat Kilau. Bagaimana pun hanya dua laluan pertama yang masih digunakan dengan meluas:

1. Laluan dari Terengganu ke Pahang bermula dari Kampung Pasir Raja, Dungun ke Kampung Bantal, Hulu Tembeling yang lazimnya mengambil masa antara tiga hingga lima hari untuk ditamatkan.

Laluan ini sering digunakan penduduk antara kedua-dua buah negeri kerana mereka mempunyai talian persaudaraan dan juga laluan untuk mencari hasil hutan terutama damar dan kayu gaharu. Laluan ini juga paling popular di kalangan pelancong atau peminat aktiviti lasak.
(sertakan peta besar yang menjadi latar kembara kali ini)
2. Laluan dari Pahang ke Perak bermula dari Lata Lembik, Kampung Ulu Sungai, Raub hingga ke Batu Hidang, Pos Bersih, Ulu Slim, Perak. Laluan sejauh 34 kilometer ini mengambil masa antara dua ke tiga hari untuk ditamatkan jika bermalam.
(sertakan peta)

3. Laluan dari Pahang ke Kelantan bermula dari Sungai Tembeling di Taman Negara Pahang hingga ke Sungai Pertang di Hulu Kelantan.
(sertakan peta)
4. Laluan dari Jerantut, Pahang ke Pasir Nering, Hulu Terengganu yang sebahagiannya kini sudah tenggelam kerana pembinaan empangan di Tasik Kenyir.
5. Laluan dari Jerantut ke Gua Musang, Kelantan.
Cabaran Mat Kilau Trail
Ekspedisi kita memilih laluan pertama. Laluan ini menyongsong laluan awal Mat Kilau. Ia bermula dari bandar Muktafabillah di Terengganu merentas banjaran Titiwangsa, menurun ke Sungai Larut dan Sungai Tembeling hingga ke Kuala Tahan, sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Laluan ini akan melalui 6 fasa:
• Menaiki bas ekspres.
• Menaiki kenderaan 4 pacuan roda.
• Treking hutan dan gunung.
• Treking alur sungai.
• Berakit.
• Menaiki bot panjang.

Ekspedisi ini melalui beberapa laluan mencabar (medium core) seperti mendaki dan menuruni banjaran (range) sejauh 37km, menghiliri sungai selama 4 - 5 jam dengan mengharung, beranyut (floating), berenang (jika perlu), menaiki rakit dan bermalam di tengah hutan.

Penyertaan Dibuka
Penyertaan dibuka kepada semua yang berminat sehingga 30 November. Ekspedisi bermula 23 hingga 28 Disember. Kami akan memilih cuma 15 orang untuk menyertai ekspedisi ini.
Siapa Peminat Ekspedisi Mat Kilau Trail
• Penggemar sukan lasak.
• Pencinta alam.
• Pelajar dan ahli sejarah.
• Fotografer.
• Pelancong.
Kriteria Pemilihan Peserta

• Benar-benar bersedia dari segi mental.
• Sihat tubuh badan dan fizikal.
• Ada semangat berkerjasama / kerja berpasokan / bergotong-royong.
• Mempunyai semangat setia kawan yang tinggi.
• Mencintai alam semulajadi (eco-friendly).
• Ada kemahiran treking, survival dan fotografi.
Peralatan dan Barangan Asas Peribadi
• Khemah.
• Alas tidur & selimut.
• Air minuman.
• Bahan mentah tambahan.
• Lampu suluh.
• Parang.
• Plastik untuk melindungi barang daripada basah.
• Life jacket (wajib).
• Dapur.

Tentatif
Hari Tarikh Tahap Laluan Jam Agenda
1 23 Dis 2010 Mudah 9.00 malam Menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur.
2 24 Dis 2010 Sederhana 3.00 pagi Sampai di bandar al-Muktafibillah, Terengganu. Naik kenderaan 4X4 ke Kuala Jengal.
6.00 pagi Solat Subuh dan sarapan pagi di Kuala Jengal.
10.00 pagi Melawat Kubu Mat Kilau.
12.00 tengah hari Ke Air Terjun Lata Keling dengan kenderaan 4X4 melalui Pasir Raja.
2.00 petang Pack lunch di Air Terjun Lata Keling. Mendirikan kemah, tadabbur alam dan unggun api.
3 25 Dis 2010 Lasak Masa: 10 jam Lepas sarapan Mulai treking merentasi Banjaran Titiwangsa melalui Bukit Lata Keling, Bukit Gelugor dan Gunung Main Angin dan menuruni banjaran hingga ke Sungai Lurut.
Memasang kemah, unggun api dan bermalam.
4 26 Dis 2010 Lasak Sehari Membuat rakit (5 orang / rakit), aktiviti
hutan/sungai / tadabbur alam. Malam ke-2 di
Sungai Lurut.
5 27 Dis 2010 Lasak Masa: 9 jam Lepas sarapan Bertolak dengan rakit menyusuri Sungai Lurut ke Sungai Tembeling melalui Jeram Perahu dan Kampung Mat Darling hingga ke Kampung Bantal.
Bermalam di hostel Kg. Bantal dan aktiviti kebudayaan dengan penduduk setempat.
6 28 Dis 2010 Lasak Masa: 10 jam 8.00 pagi Menaiki bot panjang ke Kuala Keniam dan melawat Gua Kepayang Besar atau Gua Daun Menari sebelum meneruskan ke Kuala Tahan.
6.00 petang Sampai di Kuala Tahan.
Malam Bertolak balik ke Kuala Lumpur dengan bas
ekspres.(Pilihan untuk bermalam di Kuala
Tahan dengan perbelanjaan sendiri.)

Perbelanjaan dan Penajaan Ekspedisi

Peserta menanggung kos ekspedisi, namun penaja dialu-alukan untuk membiayai ekspedisi ini.

Kepada yang berminat harap dapat SMS kan

Nam & Alamat penuh untuk saya hantarkan brousar lengkap dengan borang pendaftaran ke Talian 013 3596574 (Rusnah Abu Samah)