Jumaat, 17 September 2010
Daki Gunung Tahan
Kali ini saya nak bawa pendaki daki menawan gunung Tahan yang terletak di negeri kelahiran saya di Pahang Darul Makmur. Jom kita baca sikit tentang gunung yg nak kita daki ni
Gunung Tahan dengan ketinggian (2187 meter), merupakan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia, Gunung Tahan terletak di Taman Negara dalam negeri Pahang. Gunung Tahan bagaimanapun adalah rendah daripada Gunung Kinabalu yang merupakan gunung tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara.
Gunung ini menjadi titik sempadan negeri Pahang dengan negeri Kelantan.
Laluan mendaki
Gunung Tahan ini sering menjadi tumpuan pendaki gunung yang menggunakan laluan Kuala Tahan – Gunung Tahan. Laluannya :-
1. Dari Kuala Tahan ke Kem Kuala Melentai – 1 hari melalui tepi Sungai Melentai. berkhemah di sini.
2. Dari Kem Melantai ke Bukit Darah
3. Dari Bukit Darah melalui Bukit Malang – di sana ada 11 bukit.
4. Dari Bukit Malang ke Gunung Rajah
5. Dari Gunung Rajah turun ke Kem Kuala Puteh di bawah .
6. Dari Kuala Puteh ke Kuala Teku – 1 hari melalui tepi Sungai Peleting. Berkhemah di sini.
7. Dari Kuala Teku ke Gunung Pondok Dua (898 m di Kem Wrays).
8. Dari Gunung Pondok Dua ke Gunung Pangkin ( 1462 m)
9. Dari Gunung Pangkin ke Gunung Tangga Lima Belas ( 1574 m)
10. Dari Gunung Tangga Lima Belas ke Gunung Reskit ( 1666 m)
11. Dari Gunung Reskit ke Gunung Gedong ( 2066 m)
12. Dari Gunung Gedong turun ke Kem Padang
13. Dari Kem Padang ke Gunung Tahan ( 2187 m)
Anda perlu mendaki, berjalan kaki sejauh 65 km dari Kuala Tahan ke puncak Gunung Tahan.
Punca air sungai ada di Kuala Melantai , Kuala Puteh , Kuala Teku , Kem Wrays dan di Kem Padang. Ambil air di sana dan masak.
Pendakian
Pendakian paling cepat 9 hari di dalam hutan bagi mereka yang sihat. Jika dikira dari Kuala Lumpur kena tambah 2 hari lagi. Terpaksa merentas sungai dan trak yang sangat mencabar. Bagaimanapun trak ini terbuka kepada orang ramai. Dapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pegawai Taman Negara.
Pendakian bermula dari Kuala Tahan ke Kuala Melantai ambil masa 5 hari. Di Kuala Tahan ada ibu pejabat Taman Negara.
Terpaksa naik bot, tidak ada jalan raya. Bot terpaksa ditempah terlebih dahulu dengan cara menulis kepada pejabat cawangan Taman Negara di Kuala Lumpur. Bayaran bot sekitar RM10.00 hingga RM120.00 setiap orang , bergantung kepada bilangan orang.
Masa terbaik mendaki ialah antara bulan Februari dan Mac kerana kurang hujan. Bulan Oktober biasanya hujan turun hampir setiap hari. Taman Negara ditutup kepada pelawat dari 15 November hingga 15 Januari setiap tahun.
Kronologi berkaitan Gunung Tahan
1. 1875 – Rakyat Eropah pertama mengetahui kewujudan Gunung Tahan ialah penjelajah Russia, Baron Von Mikluho-Maclay yang mengesan dari jarak Kampung Penghulu Gedong, Kelantan. Beliau melihat sebuah gunung yang menakjubkan (Skinner, 1878).
2. 1880 – Terdapat dua ekspedisi awal yang dihantar oleh Sultan Pahang iaitu Sultan Ahmad bertujuan mencari Batu Hikmat yang dipercayai terletak di puncak. Kisah hikayat Orang Asli mendakwa ada monyet sebesar badak sumbu menjaga dua kendi mengandungi ibu emas dan ibu perak. Satu percubaan pergi ke kawasan itu melalui Teko Gorge sepanjang 1,000 meter kerana laluan itu dianggap paling mudah ke puncak, tetapi kedua-dua ekspedisi gagal kerana tebing tinggi dan curam.
3. 1884 – Residen Perak, Frank Swettenham dalam lawatannya ke Kuala Kangsar pernah menggunakan teropong besar dan melaporkan telah melihat sebuah gunung yang tinggi di kawasan pedalaman Tanah Melayu.
4. 1893 – H M Becher, seorang lagi individu yang dikatakan sedang memeriksa daerah itu memutuskan untuk berkhemah di atas sebuah pulau (beting pasir) yang terletak di tengah sungai Tahan. Becher mengabaikan nasihat penduduk tempatan yang mengatakan kawasan itu tidak selamat kerana sering dinaiki air. Ketika air pasang, beliau hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika sampan yang dinaikinya karam.
5. 1890 – Ekspedisi diketuai H N Ridley hanya mampu melepasi beberapa kilometer ke hulu Kuala Tahan.
6. 1898 – W W Skeat adalah orang pertama yang berjaya menerokai lebih jauh dari kawasan tanah pamah. Kumpulan ekspedisi ini menanam benih durian dan rambutan di beberapa tempat di sepanjang Sungai Tahan serta terserempak dengan seekor badak. Beliau mendaki ke tempat yang kini dikenali sebagai Gunung Pankin (ketinggian 1,463 meter) dan memacak bendera menggunakan kain batik dipercayai milik seorang peserta ekspedisi.
7. 1902 – Seorang ahli alam semula jadi, Waterstad mengetuai ekspedisi yang mengisytiharkan bahawa beliau sampai ke Banjaran Tahan, namun keterangannya amat berbeza dengan keadaan sebenar di kawasan berkenaan.
8. 1905 – Ekspedisi Robinson, mereka memulakan perjalanan dengan menaiki bot pada pagi 17 Mei 1905 ke Kuala Tembeling menuju ke Kuala Tahan. Empat pembantu Robinson berbangsa Melayu iaitu Che Nik, Mumin, Mat Aris dan Bulang adalah orang pertama tiba di puncak Gunung Tahan pada jam 10.15 pagi 16 Julai 1905, iaitu selepas dua bulan mendaki dari Kuala Tahan (Scrivenor 1912).
9. 1906 – Jabatan Bancian mendirikan survey beacon dan kepingan besi serta menandakan ketinggian puncak gunung iaitu 7,059 kaki.
10. 1912 – Ketinggian Gunung Tahan disahkan pada 7,186 kaki oleh Scrivenor, namun kini disahkan dengan peralatan yang lebih moden pada ketinggian 7,182 kaki.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan